Tokoh Ulamak Dan Para Ilmuan

Gambar Ulamak Dan Para Ilmuan

AL MARHUM KIYAI SHEIKH HJ FADHIL ABU BAKAR al BANTEN

1870 – 1952

Nama penuh beliau ialah Hj Fadhil Bin Hj Abu Bakar, berasal dari Banten sebuah daerah di Propinsi Jawa Barat. Dilahirkan pada 1287 Hijrah/ 1870 tahun Masehi tarikh ini didasarkan bahawa beliau wafat pada tahun 1952 dan pada masa beliau wafat pada umurnya lapan puluh tahun. Sejak dari kecil beliau telah terdidik dengan didikan agama disamping keluarganya adalah dari golongan yang sangat mementingkan pendidikan syariat agama Islam, beliau juga telah mendalami didikan agama disebuah sekolah pondok (pesantren) yang ada dikampungnya, sehinggalah dewasa dan akhirnya beliau terkenal sebagai orang yang alim dan di hurmati oleh masyarakat di Banten kerana keperibadian dan ketokohan ilmu hikmatnya. Beliau diberi gelaran “Kiyai” oleh warga pesantren dan masyarakat dikampungnya.

Di awal umur 20an beliau telah mula mempelajari ilmu Tasawuf di pengajian nya dan sangat cenderung mengikuti kumpulan tarikat yang ada di daerah Banten. Beliau telah mengikuti tariqat Naqshabandiyah-Qadiriah yang di pelopori oleh ulama Sambas melalui Khalifahnya di daerah Banten iaitu Syeikh Abdul Karim al Bantani. Kiyai Hj Fadhil telah mengamalkan amalan dari tariqat ini dan diceritakan Wirid Khaujakan yang diamalkannya adalah hasil daripada apa yang diasaskan oleh gurunya yang bernama Kiyai Abu Kassim (SheikhAli). Beliau telah berguru dengan Kiyai ini yang terkenal dengan ilmu kerohanian dan ilmu hikmat yang tinggi. Hj Fadhil adalah anak didik yang paling disayangi oleh Kiyai tersebut kerana keperbadiannya,keilmuannya dan kecenderungannya kepada ilmu yang dipelajarinya dan telah menunjukkan ketokohan semasa pengajian serta lulus segala ujian dan cabaran.


Semasa umurnya mencapai tiga puluhan tahun beliau telah pergi ke Makkah dan terus menetap di situ bagi membantu isterinya bernama Sheikh Halimah Abu Sahid untuk menguruskan jemaah Haji yang datang dari Pulau Jawa. Semasa di Makkah beliau dikatakan telah berguru dengan ulama Riau yang terkenal mengajar di Makkah ketika itu iaitu Sheikh Ahmad Bin Muhammad Lingga. Kiyai Fadhil juga telah menerima tarikat Tijaniyah serta mengikuti dan mengambil amalan tarikat tersebut. Tarikat ini sangat memperkasakan Solawat al Fateh dan sebagai khasifah (Doktrin) dalam amalan tarikat tersebut. Beliau juga telah menjadikan Wirid Khaujakan sebagai falsafah amalan hariannya dan telah mengembangkan Wirid Khaujakan kepada para sahabat dan kenalannya yang terdiri dikalangan orang orang Jawa dan Sunda yang bermaustatin di Makkah dan mengamalkannya secara berkumpulan.


Namun pada sekitar awal tahun 1900an beliau telah diajak oleh Penghulu Hj Daud berhijrah ke Jawi ketika itu Malaya dan tinggal di Lenga, Muar, semasa di Lenga beliau telah mengajar di masjid masjid dan surau surau dan mengembangkan Wirid Khaujakan kepada murid murid nya, beliau kemudianya berpindah ke Jalan Bakri Muar dan berkahwin buat kali keduanya dengan seorang janda yang mempunyai dua orang anak. Salah seorang anak tirinya bernama Hj Othman Hj Azhari yang mempunyai latarbelakang didikan agama yang tinggi dan telah meneruskan usaha usahanya sehingga berkembang seperti sekarang.


Pada zaman pemerintahan Jepun 1945 Kiyai Hj Fadhil Banten telah di jemput ke Johor Bahru dan telah ditawarkan untuk berkhidmat di Istana Johor. Sultan Johor ketika itu ialah DYMM Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar. Baginda Sultan berasa tidak tenang serta amat bimbangkan keselamatan keluarganya serta rakyat jelata kerana ketika itu berlaku perang dunia dan kemaraan Komunis. Suasana di Johor Bahru amat kacau bilau dengan pengeboman oleh tentera British keatas markas tentera Jepun di Singapura dan di Johor Bahru yang kebanyakannya di kawasan Istana serta penduduk awam. Baginda Sultan Ibrahim. mahukan seorang ulama’ yang berkebolehan untuk ‘mengawal’ dan mendoakan keselamatan keluarga Baginda nya serta seluruh rakyat negeri Johor.


Kiyai Hj Fadhil yang berkhidmat dengan Baginda Sultan memilih untuk tinggal di Masjid Pasir Pelangi untuk memudahkannya beruzla dan berwirid. Dengan izin Allah SWT maka wujud ketenangan di hati Baginda Sultan Ibrahim dan suasana aman di kalangan rakyat jelata, inilah berkat usaha seorang Kiyai yang kasyaf dan makbul doanya melalui solat hajat beruzla dan Wirid Khaujakan. Sebagai membalas jasanya Baginda Sultan Ibrahim telah menanugerahkan Kiyai Hj Fadhil jawatan Mufti peribadi Sultan. Baginda Sultan Ibrahim juga telah beri perkenan untuk beliau mengembangkan amalan Wirid Khaujakan untuk di amalkan oleh rakyaat di seluruh negeri Johor.


Dengan perkenan dan galakan Baginda Sultan maka dapat di tubuhkan beberapa kumpulan wirid di seluruh Negeri Johor.Antara anak murid nya ialah Kiyai Salleh Bin Karim yang terkenal sebagai pahlawan menentang komunis merupakan salah seorang muridnya dan juga ketua kumpulan Wirid Khaujakan bagi daerah Batu Pahat.Selain nya Kiyai Hj Ahmad Shah Bin Jabbar sebagai ketua Khaujakan di daerah Pontian dan Imam Siraj Bin Marzuki di Mersing dan Hj Abdul Majid, Hj Abdul Hamid dan Hi Othman Azhari sebagai pendukung ketua Khaujakan di daerah Muar. Sebagai Sheikh Mursyid Khaujakan, Kiyai Hj Fadhil amat prihatin tentang amalan Wirid Khaujakan dan mempastikan kesinambungan amalan ini di istiqamahkan walaupun dalam keadaan aman selepas ketiadaannya.Maka amanah ini di letakkan pada bahu ketua ketua Khaujakan yang di lantik.


Setelah berkhidmat di Istana selama tiga tahun Kiyai Hj Fadhil kemudiannya mohon kepada baginda Sultan untuk pulang ke kampongnya di Jalan Bakri, Muar dan pada tanggal 29 Jamadil Awal 1369 Hijrah bersamaan dengan 18 March tahun 1952 beliau telah kembali ke rahmatullah pada usia lapan puluh tahun dan di kebumikan di kawasan perkuburan Masjid Jamek Lenga, Muar.



AL MARHUM TUAN GURU HJ OTHMAN HJ AZHARI

1915 – 1995

Nama beliau ialah Hj Othman Bin Hj Azhari di lahirkan di Batu 2 Jalan Bakri ,Muar pada 5 Januari tahun 1915. Beliau di besarkan oleh ibunya setelah bapanya meninggal dunia ketika usianya masih kecil. Semasa beliau berumur 7 tahun beliau telah mengikuti ibunya ke Makkah untuk menunaikan haji dan mendapat gelaran Haji di umur yang masih muda. Beliau mendapat didikan awal di Sekolah Melayu Bakri dan sekolah menengah di High School Muar dan kemudiannya berpindah ke sekolah pondok Kadhi Hj Abu Bakar Hassan (Sekolah Agama Maahad Muar) di Muar.

Pada tahun 1936 beliau telah berpeluang untuk melanjutkan pengajian agama di Kuliatul Al Attas di Wadi Hana Johor Bahru. Selepas tamat pengajiannya beliau telah pulang ke Muar dan memberi khidmat mengajar di sekolah sekolah antaranya di Madrasah Maharani al- Islamiah, yang di bina oleh Kiyai Hj Fadhil Banten di Jalan Bakri Muar. Hj Othman Azhari telah banyak menimba ilmu daripada Kiyai Hj Fadhil yang juga ayah tirinya terutama dalam di bidang pembangunan kerohanian dan ilmu hikmat.


Setelah Kiyai Hj Fadil Banten wafat, Hj Othman Hj Azhari telah meneruskan usaha usaha mengembangkan Wirid Khaujakan yang telah di pelopori oleh Kiyai Hj Fadhil dengan mengajak dan mengumpul ahli jemaah wirid yang pernah berguru dengan Kiyai Hj Fadhil Banten untuk mengamalkan Wirid Khaujakan di secara kumpulan kecil di rumah nya.
Perkembangan Wirid Khaujakan telah mula di minati oleh masyarakat awam dan ahli jemaah semakin bertambah ruang tempat berwirid perlu lebih luas. Hj Othman Azhari berusaha mengumpulkan para ahli jemaah mengamalkan Wirid Khaujakan secara beramai ramai di Masjid Jamek Muar tiap tiap malam Jumaat mulai dari jam 12 malam. Pada mulanya ia disertai oleh beberapa orang dan kemudiannya telah meningkat kepada 600 orang yang datang dari berbagai bagai daerah. Beberapa kumpulan jemaah wirid telah di tubuhkan di daerah daerah bagi memudahkan orang ramai menjalankan amalan ibadah ini di masjid dan surau di kariah masing masing.

Akibat daripada kesan berlaku peristiwa berdarah 13 Mei 1969, masyarakat orang ramai mencari cari amalan ilmu hikmat dan pendiding diri dan mahukan seorang tokoh agama yang boleh dijadikan gurunya, justeru Wirid Khaujakan telah mendapat sambutan yang cukup tinggi dan meningkat dari orang ramai. Dengan peningkatan jumlah ahli kepada ribuan orang maka ia perlu di tadbir urus dengan baik dan sempurna supaya berkumpulan dan menjalankan wirid di lihat bebas dari fitnah, maka atas nasihat ahli jemaah Hj Othman Azhari mengambil keputusan untuk mendaftarkan kumpulan sebagai pertubuhan secara sah. Maka urusan pendaftaran pun diusahakan dan pada 2 November 1971 kumpulan ini didaftarkan di bawah undang undang pertubuhan negeri Johor dengan nama Badan Kebajikan Jemaah Khaujakan Johor dengan No.Pendaftaran 473 ( Johor ).

Tuan Guru Hj Othman Azhari telah menyusun beberapa buah buku risalah Wirid Khaujakan dan beberapa buah buku lain sebagai panduan bagi memudahkan ahli ahli pertubuhan untuk membuat amalan wirid dan rujukan bacaan.Tuan Guru Hj Othman Azhari selaku Yang DiPertua di pertubuhan ini Khaujakan telah memimpin ahli ahli nya menjalankan aktibiti aktibiti ibadah dengan berkesan dimana di satu ketika jumlah ahlinya mencecah lebih 20,000 orang. Gerakan dakwahnya dari daerah ke daerah di buat setiap bulan mengajak orang ramai berwirid dengan Wirid Khaujakan dan aktibiti ini masih berlaku sehingga ke hari ini hasil usaha gerakan pertubuhan Khaujakan. Amalan Wird Khaujakan pada hari ini telah lengkap dan di kemaskini dengan mendapat kelulusan Majlis Fatwa negeri Johor untuk dipermudahkan untuk orang awam mengamalkannya.

Setelah memimpin pertubuhan ini selama lebih 24 tahun Tuan Guru Hj Othman Azhari yang juga merupakan Sheikh Mursyid Khaujakan ingin memastikan kesinambungan amalan Wirid Khaujakan diteruskan oleh ahli Khaujakan. Beliau telah meletakan tanggungjawab ini kepada anak murid nya dan juga Timbalan Sheikh Mursyid Khaujakan, al Sheikh Ustaz Hj Ahmad Bin Tunggal untuk memimpin pertubuhan ini.
Kesihatan beliau telah merosot kerana keuzuran Pada tanggal 23 haribulan Jun 1995 Tuan Guru Hj Othman telah kembali ke Rahmattullah, beliau telah wafat pada usianya 80 tahun dan di kebumikan di tanah perkuburan Batu 2 Jalan Bakri, Muar Johor.


kredit : khaujakanjohor.org

Makna dan asal perkataan Khaujakan

Sebagai penjelasan makna Khaujakan seperti yang diturunkan jawapannya dalam Warta Jabatan Agama Johor bilangan 206 bertarikh November 1970 oleh mantan Kadhi besar Johor Al Marhum Datuk Sayyid Alwee Bin Abdullah al Hadad bahawa tersebut dalam Kitab Tanwirul Qulub karangan al Sheikh Muhammad Amin al Qardi bahawa perkataan Khaujakan adalah diambil daripada perkataan bahasa Farsi dalam bentuk jamak (plural), dan mufradnya (tunggalnya) ‘al khawajihu’ atau ringkasnya khawajah yang membawa maksud al Shyakh atau Tuan Guru.

Dari sumber lain pula Khaujakan atau Khwajagan adalah gelaran yang di pakai oleh ketua ahli Sufi atau tassawuf di rantau Timur Tengah, Asia Tengah dan Asia Tenggara. Dalam bahasa Arab disebut al-Syaikh membawa maksud Tuan (Master atau Lord dalam bahasa Inggris) dan dalam bahasa Melayu boleh dimaknakan dengan gelaran Tuan Guru. Jika dikalangan ahli Sufi atau Tassawuf di sebut Tuan Sheikh Guru.

Asal perkataan Khaujakan timbul ialah apabila Tarekat Khwajagan/Naqshbandiyah dan Tarekat Qadiriyah yang berasal dari Asia Tengah dibawa masuk ke Asia tenggara khusus di tanah Jawa oleh ulama Sambas bernama Sheikh Ahmad Khatib Bin Abdul Ghafar al Sambas dan di sebar luas oleh Khalifah nya Sheikh Abdul Karim al Bantani. Tarekat ini mempunyai organisasi yang besar dan mempunyai ramai pengikut terdiri daripada ahli sufi yang lebih menekankan soal soal pembangunan kerohanian di pondok atau di zawiyah mereka. Mereka di pimpin oleh seorang Tuan Sheikh Guru Sufi dalam semua aspek ilmuan dan ibadah kerohanian. Mereka mengamalkan satu wirid yang dinamakan Khatm Khaujakan yang kebiasaannya diamalkan dimajlis perhimpunan yang diadakan setiap minggu di antara murid dengan Sheikh Guru Tassawuf mereka.

Disebutkan dikebanyakan ahli ahli sufi dalam tarekat tersebut bahawa murid-muridnya akan berkumpul setiap minggu dengan Guru Tassawuf mereka untuk menjalani majlis ilmu dan ibadah menutup majlis ini dengan membaca wirid khas yang mengandungi solawat, zikir, ayat dari surah al Quran dan doa doa yang disusun oleh pengasasnya.Wirid ini dinamakan Khatm Khaujakan. Wirid Khatm Khaujakan adalah juga legasi ahli sufi dan telah dikenali oleh masyarakat Islam pada zaman Sultan aulia’ as-Syaikh Abdul Kadir Jailani dan al-Syaid Muhammad Haqqi An-Nazali kira-kira lebih 1000 tahun yang lalu dan seterusnya di amalkan oleh masyarakat Islam hingga ke hari ini.

Mengenali Wirid Khaujakan


Wirid Khaujakan pula merupakan satu wirid khas yang menjadi pegangan ahli tarekat dan ahli hikmat dan orang solehin dari Tanah Jawa. Terdapat sedikit persamaan dalam wirid ini dengan apa yang diamalkan oleh ahli Tarikat Naqshabandiah dan Tarekat Qadiriyah kerana dari urutan pengasas (Mashaykh) yang sama. Wirid Khaujakan mengandungi ayat-ayat Al-Qur’an, Zikir dan Solawat al Fateh, dan doa doa pilihan yang amat mustajab. Wirid ini telah disusun oleh pengasasnya yang bergelar Tuan Guru atau Kiyai yang mempunyai ‘authorithy’ untuk menyusun wirid ini dan mengijzahkannya kepada pengamalnya dan turun dari satu generasi ke satu genarasi.Amalan Wirid Khaujakan pada hari adalah legasi daripada para ahli tarekat dan solehin sejak dari zaman silam.

Tujuan mengamalakan Wirid Khatm Khaujakan


Menurut al Sheikh al Imam As Sayyid Muhammad Haqqi An Naazili dalam karangannya Kitab Khozinatul Al asrar Al Qubro, halaman 188, bahawa telah sepakat semua Guru Murshid imam tarekah bahawa ialah untuk laksanakan hajat, dihasilkan keinginan, mencegah bahaya, mengalahkan musuh dan hasutan syaitan, diangkatkan darjat sampai ke maqam Muqorobin, maka Guru Murshid telah mengamalkan Khatam Khaujakan.

Tarbiyah Wirid Khaujakan ke Tanah Melayu

Amalan Wirid Khaujakan telah dibawa dan perkenalkan ke Tanah Melayu oleh Almarhum Kiyai Haji Fadhil bin Abu Bakar al Bantani pada tahun 1912. Beliau berasal dari Banten sebuah daerah dalam propinsi Jawa Barat, Indonesia.Setelah lama menetap di Makkah beliau telah berhijrah dan datang Malaya iaitu ke Lenga, Muar untuk tujuan berdakwah kerana ketika suasana di tanah Arab dibawah fahaman Wahabi yang melarang segala amalan sufi dan tarekat. Beliau adalah pengamal tarekat Naqshabandi/Qadiriyah/Tijaniah dan telah berguru dengan beberapa kiyai di daerah Banten dan beberapa orang Shaykh Tassauwuf di Makkah. Amalan Wirid Khaujakan telah disebar luas melalui dakwah nya di masjid masjid dan surau di sekitar Lenga dan Muar Secara ringkasnya Kiyai Hj Fadhil adalah pendiri dan khalifah Wirid Khaujakan yang ulung di Tanah Melayu. Wirid Khaujakan mula menjadi amalan umat Islam di seluruh negeri Johor pada tahun 1940an. 


Sila rujuk buku berikut terbitan Badan Kebajikan Jemaah Khaujakan Johor untuk keterangan lanjut:

• Risalah Wirid Khaujakan

• Amalan Wirid Khaujakan Dan Huraiannya

• Bimbingan Rohani


Tuan Guru Uztaz Shaikh Hj Ahmad Bin Tunggal
YDP Khaujakan Johor


 Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim dilahirkan di Tanjung Olak Panchur, Bukit Pasir, Muar, Johor pada tahun 1916. Masa mudanya banyak dihabiskan dengan menuntut ilmu daripada beberapa orang guru termasuklah guru di kampung isterinya, Hajah Esah Haji Abdul Rashid, di Ara Pasung, Pontian, Johor.
Antara guru-guru Haji Mohd Salleh ialah Haji Hussein (belajar agama dan al quran), Haji Alias, Haji Adam dan Haji Ahmad. Beliau juga turut belajar daripada Haji Abdul Fadhil bin Abu Bakar Banten yang membawa ajaran Wirid Khaujakan di Johor selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim dan telah dilantik sebagai ketua kumpulan Wirid Khaujakan di Batu Pahat , Johor.
Haji Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Panglima Salleh atau "Kiai Salleh" atau "Panglima Salleh Selempang Merah" merupakan seorang pahlawan Melayu keturunan Banjar yang bangkit menentang kekejaman komunis semasa selepas kekalahan Jepun semasa Perang Dunia II.
Jasa
Kepimpinan Haji Mohd Salleh terserlah semasa kekalahan pihak Tentera Jepun di tangan pihak Tentera Berikat pada pertengahan bulan Ogos 1945. Di Semenanjung Tanah Melayu, peristiwa tersebut menimbulkan apa yang dinamakan tempoh Kekosongan Kuasa. Tempoh tersebut berlangsung selama dua minggu sehingga ketibaan Askar British yang menandakan permulaan Pentadbiran British Baru di Tanah Melayu.
Sebelum ketibaan pihak British, pihak komunis yang dikenali sebagai Askar Bintang Tiga yang sebelum itu berjuang menentang Jepun di bawah payung Malayan People Anti-Japanese Army atau MPAJA telah mengambil kesempatan untuk berkuasa dan bertindak kejam terhadap orang-orang yang dianggap bekerjasama dengan Jepun. Mereka tidak mengenal mangsa dan menghukum sesiapa sahaja yang dianggap bersalah tanpa mengikuti proses undang-undang yang betul. Lazimnya mereka yang di dapati bersalah akan dikenakan hukuman mati.
Kekejaman Askar Bintang Tiga berleluasa di Tanah Melayu termasuk di kawasan Batu Pahat dan Muar di Johor. Masyarakat Melayu di kawasan Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, yang pada ketika itu tidak mempunyai kelengkapan senjatapi untuk mempertahankan diri telah memilih Haji Mohd Salleh untuk memimpin pakatan untuk mempertahankan diri dari kekejaman Askar Bintang Tiga.
Dengan hanya bersenjatakan parang panjang dan amalan Ayat Empat, Haji Mohd Salleh telah memimpin masyarakat Batu Pahat untuk menggempur kubu-kubu Askar Bintang Tiga di Bukit Berdiri dan Bukit Alam, Parit Sulong, di Parit Lubok, Semerah, di Kangkar Senanga, dan di Air Kuning, Bakri, Muar. Pasukan pejuang di bawah pimpinan Haji Mohd Salleh terkenal dengan gelaran tentera parang panjang dan 'Selempang Merah iaitu sejenis kain selendang berwarna merah yang dibekalkan kepada setiap orang ketika menghadapi atau berhadapan dengan musuh.
Terdapat pelbagai kisah mengenai kehebatan ilmu kebatinan Haji Mohd Salleh dan pengkutnya mendakwa ramai Askar Bintang Tiga melihat beribu-ribu pejuang yang tinggi menggalah menuju ke arah mereka untuk mencabut nyawa mereka, sedangkan yang datang itu hanyalah Panglima Salleh dan pasukanya yang dianggarkan berjumlah seratus orang sahaja.
Walauapapun yang sebenarnya berlaku, yang jelas adalah Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim berjaya menyekat kegiatan Askar Bintang Tiga pada masa itu secara berkesan sehinggalah pihak British kembali menjajah Tanah Melayu.
Kegagahan dan keberanian, Haji Mohd Salleh diiktiraf oleh Kebawah Duli Sultan Johor Almarhum Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar yang bertitah pada 26hb Disember 1945 bahawa Haji Mohd Salleh adalah Panglima Melayu. Sejak itu Haji Mohd Salleh mendapat gelaran Panglima.
Sebagai mengenang jasa Haji Mohd Salleh, DYMM Sultan Johor telah mengurniakan beliau Pingat Ibrahim Sultan (PIS)pada 17hb September 1955. Haji Mohd Salleh menghembuskan nafas yang terakhir kerana diserang penyakit radang paru-paru di Hospital Besar Johor Bahru pada 21hb April 1959.
Tentera Selempang Merah
Tentera Selempang Merah berasal dari Johor, Malaysia di bawah pimpinan seorang kiai yang bernama Kiai Salleh yang penuh dengan ilmu kebatinan Melayu.
Tentera Selempang Merah ini menjadi terkenal selepas kekalahan tentera Jepun. Apabila Bintang Tiga mengamuk den membunuh tokoh agama dan pemimpin kampung, Tentera Selempang Merah tampil mempertahankan masyarakat Melayu dengan menyerang komunis dan tali barut mereka.
Pergerakan ini membantu membantutkan kekejaman komunis sehinggalah kehadiran kembali Tentera British ke Tanah Melayu selepas Perang Dunia II. Sewaktu kejadian 13 Mei, pasukan ini datang dari Johor untuk membantu orang melayu di Kuala Lumpur, bagaimanapun telah ditahan oleh pihak polis sebelum sempat membantu.